Sabtu, 7 Jun 2014

APA ITU CINTA
Oleh: Nor Adirah Mat Yatim

Cinta. Apa itu cinta? Cinta diibaratkan sebagai penawar dan ubat kepada semua kejadian di dunia ini. Tanpa cinta hidup kita tidak mempunyai makna dan tanpa cinta kita tidak akan mengenal pahit manisnya kehidupan dunia. Kerana, dengan cinta kita mudah terluka, dengan cinta kita menurutkan kata-kata nafsu durjana, dengan cinta kita sanggup berkorban dan dengan cinta juga kita bersemangat untuk menjalani rutin kehidupan. Inilah penangan daripada rasa cinta.
            Apabila kita mula membicarakan tentang cinta pasti semua manusia berfikir mengenai perkara seperti sayang kepada seseorang yang dianggap sebagai orang yang teristimewa. Tidak! Cinta adalah sesuatu yang umum, tidak terhad hanya untuk pasangan lelaki dan perempuan sahaja. Cinta telah diwujudkan dalam diri setiap makhluk ciptaan Allah yang tidak mengira manusia ataupun haiwan.
            Contohnya cinta dapat dibahagikan kepada beberapa kategori antaranya cintakan Tuhan, cintakan manusia, cintakan haiwan dan cintakan kebendaan. Cinta itulah yang mendasari kehidupan manusia untuk mengecap kebahagian yang berpanjangan.
            Cinta kepada Tuhan adalah suatu cinta yang tiada tandingannya seperti kisah cinta Rabiatul Adawiyah kepada penciptanya Allah s.w.t. Wali Allah ini dilahirkan dalam keadaan yang penuh dengan dugaan dan ujian namun, kecintaannya kepada Allah telah menjadikannya kuat untuk hidup. Kehidupannya hanya bergantung kepada Allah sahaja. Beliau menjadikan kecintaan kepada Allah sebagai satu cara untuk membersihkan diri dan jiwa terhadap dunia.
            Cinta sesama manusia ini merupakan suatu rasa kasih dan sayang kepada seseorang seperti sesuci cinta Fatimah Az-Zahra dengan Saidina Ali yang hanya mengharapkan pertolongan daripada Allah s.w.t. bagi menyatukan mereka. Saidina Ali hanya mencintai Fatimah dalam diam dan begitu juga Fatimah yang mencintai Ali dalam diam. Cinta mereka tidak diluahkan tetapi cinta mereka dipersatukan oleh Allah kerana keikhlasan dan keimanan yang ada dalam diri mereka menjadi pelindung kepada nafsu durjana.
            Manakala cintakan haiwan juga tidak kurang samanya dengan kisah cinta manusia. Seorang khalifah yang dikenali sebagai Abu Hurairah merupakan satu-satunya insan yang teramat menyanyangi haiwan terutamanya seekor kucing. Kerana itulah beliau dikenali dengan panggilan ‘Abi Hurairah’ yang bermaksud Bapa Kucing. Beliau gemar bermain dengan seekor kucing yang dimasukkan ke dalam poketnya walau kemana pun beliau pergi.
            Dunia ini bersifat kebendaan yang dapat menarik perhatian sekumpulan golongan yang tinggal leka di dalamnya. Cintakan kebendaan boleh mengatasi segala-galanya sehinggakan sanggup bermusuhan dan berbunuhan. Firaun mengagungkan dirinya sebagai Tuhan dan perlu disembah oleh rakyatnya. Kekhuatirannya kepada harta menyebabkan firaun bertindak untuk membunuh semua bayi lelaki yang dilahirkan bagi menjaga pewarisan takhtanya sebagai pemerintah kerajaan Mesir. Cinta Firaun terhadap kebendaan membuatkannya sombong dan bongkak.

            Kehidupan tanpa cinta akan terasa hambar kerana cinta mempunyai sesuatu kekuatan yang tidak dapat dilihat tetapi hanya dapat dirasa. Kekuatan cinta memang luar biasa. Bercintalah dengan kecintaan kepada Allah s.w.t. dan bermainlah dengan cintanya untuk mendapatkan keredhaan hidup di alam fana ini. Cinta kepada dunia tiada keuntungan berbanding cintakan akhirat yang menjamin kehidupan. Cinta bukanlah sesuatu yang dusta tetapi yang adalah sesuatu yang nyata. Dunia hanya persinggahan, akhirat itulah penentuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan